Wednesday, June 17, 2009

Pemain muda Kedah kembali menyegat




PEMAIN muda Kedah kembali menyegat dalam saingan Liga Super, lapor ZAINAL AZHAR MOHAMED.

Negeri Sembilan menjadi mangsa terbaru yang menyaksikan mereka menang 3-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam kelmarin.

Keputusan yang diraih skuad Kenari itu juga membolehkan ketua jurulatihnya, Mohd. Azraai Khor Abdullah senyum lebar apabila hasrat untuk menebus kekalahan pada perlawanan lalu tercapai di gelanggang sendiri.

Azraai berkata, dia teruja dengan aksi pemain muda selepas berjaya menguasai perlawanan tersebut meskipun ketinggalan 1-0 di awal permainan.

Katanya, sebelum perlawanan bermula dia agak resah dengan kehilangan pemain seperti Badrol Bakhtiar yang merupakan tonggak penting untuk melancarkan serangan.

Namun jelasnya, selepas menurunkan pemain muda yang lain seperti Mohd. Fadly Baharom corak serangan pasukannya tetap berkesan malah berjaya menghasilkan gol.

Pada perlawanan itu, Kedah memperoleh jaringan menerusi Mohd. Sabree Abu pada minit ke-44 sebelum Khyril Muhymeen Zambri dan Mohd. Azrul Ahmad melengkapkan malam gemilang itu pada minit ke-64 dan 86.

Jaringan tunggal Negeri Sembilan dihasilkan Mohd. Zaquan Adha pada minit ke-35.

Sunday, May 31, 2009

Kedah diikat Perlis


ALOR SETAR – Kedah gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri Stadium Darulaman, di sini untuk mencari ‘penawar’ apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Perlis pada perlawanan bola sepak Liga Super, malam tadi.

Selepas dikecewakan Perak 1-0, Kedah cuba bangkit untuk memperbaiki kedudukannya tetapi saingan sengit dari Perlis yang turut memburu mata penuh untuk memintas Selangor di tangga teratas liga menyaksikan tuan rumah terpaksa berkongsi mata.

Kedua-dua pasukan berjiran itu masing-masing mencari kemenangan untuk memperbaiki kedudukan dalam kelompok teratas liga khususnya Perlis yang berada di tangga kedua dengan 38 mata manakala pendahulu, Selangor mengumpul 40 mata.

Sebaik pengadil, Mohd. Yusof Md. Karim meniupkan wisel memulakan aksi, hampir 30 minit permainan berlangsung, kedua-dua pasukan gagal menemui rentak walaupun terdapat beberapa serangan yang diatur.

Kedah yang menyandarkan harapan kepada Mohd. Khyril Muhymeen dan Badrol Bakhtiar di barisan depan masih gagal menguji penjaga gol Perlis, Mohd Farizal, begitu juga dengan pasukan pelawat yang mengharapkan sentuhan Nizaruddin Yussof.

Malang bagi Kedah apabila penjaga gawangnya, Mohd. Helmi Eliza Elias terpaksa dikeluarkan pada minit ke-33 selepas dia mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan kubu Kedah dalam satu pergelutan di gol pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, peluang di sebalik ketiadaan Helmi Eliza gagal dimanfaatkan Perlis, malah penjaga gol gantian, Mohd. Al-Hafiz langsung tidak menerima tekanan daripada penyerang pasukan pelawat.

Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, Kedah cuba bangkit untuk mencari jaringan pendahuluan pada separuh masa kedua menerusi asakan bertali arus ke kubu pasukan pelawat.

Selang seminit aksi babak kedua berlangsung, Kedah hampir memperoleh jaringan tetapi sepakan percuma cantik Badrol dari luar kotak penalti Perlis ditepis penjaga gol, Mohd. Farizal, Marlias sekali gus melegakan Perlis.

Dua minit selepas itu, Kedah terus melakukan serangan gagal dimanfaatkan Mohd. Farizal beraksi cemerlang menepis rembatan Mohd. Faizal Abu Bakar.

Ternyata Kedah mempersiakan-siakan beberapa peluang lagi walaupun pada pemainnya berada pada kedudukan cukup selesa untuk menghasilkan gol termasuk percubaan lemah Mohd. Sabri Abu yang berjaya didakap kemas Mohd. Farizal pada minit ke-73.

Seminit kemudian, sekali lagi kesempatan terhidang buat Kedah tetapi rembatan kencang jarak jauh Mohd. Hisham Sofi hanya sedikit melewati palang gol Perlis, begitu juga rembatan Mohd. Khyril yang tersasar pada minit ke-78 dan kemudiannya aksi diteruskan tanpa jaringan sehingga perlawanan berakhir.

Friday, May 29, 2009

Azraai terkilan Kedah terpaksa harungi jadual padat

JUARA treble, Kedah ternyata terkilan apabila terpaksa berdepan Perlis pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Malah pengendali skuad Hijau Kuning, Mohd. Azraai Khor Abdullah menganggap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai 'kalut' kerana menetapkan aksi Liga Super itu.

Sejak 19 Mei lalu, Kedah telah mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh yang agak singkat.

Selepas menentang Chonburi FC pada saingan Piala AFC di Bangkok, Kedah terpaksa bertemu Sela- ngor dalam aksi Liga Super di Shah Alam empat hari kemudian.

Berselang tiga hari kemudian, skuad kendalian Azraai itu berdepan pula Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.

Menurut Azraai, beliau terkilan dengan tindakan FAM yang tidak dapat memahami situasi pasukannya yang terpaksa mengharungi jadual padat.

"Di saat kami berjaya menaikkan nama negara dengan layak ke pusi- ngan kedua Piala AFC, kami terus menerima tekanan dengan jadual ketat selain beberapa pemain diheret untuk mewakili negara.

"Saya tidak faham kenapa situasi ini terjadi dan kami berasa sedih kerana perjuangan yang dilakukan pada peringkat antarabangsa tidak dihargai FAM," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelasnya, akibat keletihan, skuadnya telah tewas dua kali berturut-turut selain kehilangan tonggak utama akibat kecederaan.

Katanya, sebagai jurulatih, beliau kini tertekan untuk melengkapkan jadual perlawanan musim ini.

"Apa yang boleh saya katakan. Kami bukan terpaksa beraksi dalam keadaan tempang, sebaliknya telah parah," ujarnya

Azraai terkilan Kedah terpaksa harungi jadual padat

JUARA treble, Kedah ternyata terkilan apabila terpaksa berdepan Perlis pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Malah pengendali skuad Hijau Kuning, Mohd. Azraai Khor Abdullah menganggap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai 'kalut' kerana menetapkan aksi Liga Super itu.

Sejak 19 Mei lalu, Kedah telah mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh yang agak singkat.

Selepas menentang Chonburi FC pada saingan Piala AFC di Bangkok, Kedah terpaksa bertemu Sela- ngor dalam aksi Liga Super di Shah Alam empat hari kemudian.

Berselang tiga hari kemudian, skuad kendalian Azraai itu berdepan pula Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.

Menurut Azraai, beliau terkilan dengan tindakan FAM yang tidak dapat memahami situasi pasukannya yang terpaksa mengharungi jadual padat.

"Di saat kami berjaya menaikkan nama negara dengan layak ke pusi- ngan kedua Piala AFC, kami terus menerima tekanan dengan jadual ketat selain beberapa pemain diheret untuk mewakili negara.

"Saya tidak faham kenapa situasi ini terjadi dan kami berasa sedih kerana perjuangan yang dilakukan pada peringkat antarabangsa tidak dihargai FAM," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelasnya, akibat keletihan, skuadnya telah tewas dua kali berturut-turut selain kehilangan tonggak utama akibat kecederaan.

Katanya, sebagai jurulatih, beliau kini tertekan untuk melengkapkan jadual perlawanan musim ini.

"Apa yang boleh saya katakan. Kami bukan terpaksa beraksi dalam keadaan tempang, sebaliknya telah parah," ujarnya

Wednesday, May 27, 2009

Harapan masih ada



"KEDAH tidak boleh kalah lagi jika mahu mengekalkan trofi Liga Super bagi musim ketiga berturut-turut."

Itu amaran penolong jurulatih Kedah, Radhi Mat Din selepas skuad Hijau Kuning tewas mengejut 0-1 kepada Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.

"Kami tidak boleh kalah lagi kerana ia akan meluaskan jurang perbezaan mata dengan pendahulu liga, Selangor," jelas Radhi.

Ekoran kekalahan itu, Radhi menuntut agar anak buahnya segera bangkit dan mengutip mata penuh dalam pertemuan dengan Perlis di Stadium Darul Aman Sabtu ini.

Selepas mengharungi 17 perlawanan, Kedah yang juga juara treble bagi dua musim berturut-turut ketinggalan sembilan mata di belakang Selangor.

Sekalipun menghuni tangga keempat, Kedah masih menaruh harapan untuk mengekalkan kejuaraannya musim ini.

"Walaupun berada di tangga keempat, kami masih berpeluang mengekal kejuaraan Piala Liga ini," jelas Radhi lagi.

Mengenai kekalahan mengejut Kedah malam kelmarin, Radhi berkata, kegagalan barisan serangan menyudahkan peluang gol serta kecuaian barisan pertahanan dan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias menyebabkan mereka tumbang di Ipoh.

"Gol yang diperoleh Perak seolah-olah hadiah daripada Kedah akibat kesilapan yang sepatutnya tidak dilakukan oleh mereka.

"Kami berjaya menguasai perlawanan tetapi gagal menjaringkan gol," tambah Radhi.

Penjaring terbanyak Perak, Razali Umar Kandasamy muncul wira apabila berjaya mencuri bola daripada pertahanan Kedah sebelum menguis masuk bola ke gawang Kedah pada minit ke-47.

Tambah Radhi, ketiadaan tiga tonggak utamanya, Victor Andrag, V. Thirumurugan dan Ronny Harun turut menjejaskan rentak persembahan Kedah pada malam kelmarin.

"Yang jelas, ketiga-tiga pemain tersebut belum pasti beraksi Sabtu ini," kata Radhi.

Thursday, May 21, 2009

Selangor hati-hati hadapi Kedah


BIARPUN mudah membelasah Kedah 4-1 pada aksi sulung Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 3 Januari lalu yang juga merupakan perlawanan merebut Piala Sultan Ahmad Shah 2009, Selangor akan lebih berhati-hati apabila turun bertemu Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Jurulatih Selangor, K. Devan berkata, dia menjangkakan Kedah pasti akan lebih bersemangat untuk membalas dendam kekalahan itu tetapi Selangor juga tidak akan merelakan tiga mata penuh dirampas daripada gelanggang sendiri.

"Untuk mencatat kemenangan mudah 4-1 itu mungkin sukar. Ini kerana, ketika ini semua pasukan sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan lawan masing-masing setelah liga memasuki pusingan kedua.

"Jika perlawanan Sabtu ini dapat berlangsung dengan aksi permainan terbuka daripada kedua-dua pasukan, saya yakin berdasarkan kemampuan pemain yang ada, Selangor boleh mengatasi Kedah," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Malam kelmarin, Selangor mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Super apabila menewaskan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Bandaraya hasil jaringan Safee Sali pada minit ke-53.

"Ramai yang kata, bila Selangor lawan pasukan lemah, Selangor akan main teruk. Itu tidak tepat sebenarnya. Kami tetap beraksi baik seperti biasa dan menguasai permainan.

"Cuma kita kena faham, bila lawan pasukan lemah, mereka banyak tumpukan kepada kekuatan pasukan lawan."

Pada perlawanan kelmarin, Selangor menurunkan penjaga gol kedua, Nasril Nourdin selepas Hamsani Ahmad kurang sihat manakala pemain Piala Presiden, Raslam Khan Rashid membuat penampilan pertama apabila masuk menggantikan C. Premnath pada pertengahan babak kedua.

Selangor dengan 37 mata kini masih kekal di tangga kedua dengan ketinggalan satu mata berbanding pendahulu Liga Super, Perlis.

Kemenangan ke atas Kedah, Sabtu ini penting untuk menjarakkan diri dengan pasukan di tangga ketiga itu kerana Kedah kini mengumpul 31 mata tetapi masih kurang satu perlawanan.

Tuesday, May 19, 2009

Layak ke Pusingan Kedua Piala AFC

Kedah layak
Oleh Bashah Zainol Abidin dan Rizar Mohd Noor
sukan@hmetro.com.my
KETUA jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berpuas hati berikutan kejayaan pasukannya layak ke pusingan kedua Piala AFC 2009 walaupun kecundang 3-1 kepada kelab Thailand, Chonburi di Bangkok, malam tadi.

Kedah sudah tahu mereka layak ke peringkat itu sebelum aksi bermula selepas mendapat khabar kelab Vietnam, ACB Hanoi menundukkan kelab Hong Kong, Eastern Athlatic, 3-0.

Ekoran itulah membuatkan Azraai sekadar menurunkan pemain simpanan kerana mahu memastikan tidak ada kecederaan menghantui pemainnya apabila beraksi pada Liga Super dan juga perlawanan pusingan kedua Piala AFC nanti.

“Barisan pemain simpanan saya beraksi dengan baik tetapi pengalaman pemain Chonburi memastikan tiga mata berpihak kepada mereka. Hanya Khyril Muhymeen menjaringkan gol dan menceriakan saya kerana dia berjaya melakukannya pada lima perlawanan lalu.


“Kini tumpuan saya sudah pasti terhadap pertemuan dengan satu lagi pasukan juara Kumpulan H dari Vietnam, Binh Duong dan kejayaan kita melayakkan diri sudah pasti harumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Selain dari perlawanan Piala AFC saya mahu memastikan kita tidak ketinggalan jauh di belakang pendahulu Liga Super ketika ini Perlis dan Selangor yang menghuni tempat kedua,” kata Azraai.

Sementara itu, aksi lesu terus dipamerkan Johor FC apabila gagal menamatkan saingan Kumpulan F tanpa sebarang kemenangan selepas tewas 1-0 kepada PSMS Medan dari Indonesia di Stadium JCorp, Pasir Gudang, semalam.

Pelawat yang hadir dengan buruan untuk mencari keputusan seri selepas layak ke pusingan kedua berjaya mengejutkan tuan rumah m-66 hasil jaringan Mitchell Leonardo.

Monday, May 18, 2009

Kedah pulun kejar pendahulu


JUARA treble musim lalu, Kedah semakin mengukuhkan kedudukan di kelompok teratas Liga Super selepas menewaskan Perak 3-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.

Ekoran kejayaan itu, ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah menganggap percaturannya sejak daripada awal musim semakin menunjukkan hasil dan ia telah memberi keyakinan kepada mereka untuk terus mengejar pendahulu liga.

Menurut Azraai, setelah melakukan pelbagai percaturan dan gandingan pemain, usahanya itu sudah menampakkan hasil dan kini mereka meneruskan momentum kemenangan.

Katanya, pada perlawanan malam kelmarin beliau berhasrat menggandingkan Mohd. Azrul Ahmad dengan Faizal Abu Bakar di bahagian serangan, namun faktor kurang pengalaman memaksa beliau kembali meletakkan Khyril Muhymeen Zambri sebagai penyerang utama.

"Kita telah melakukan perubahan untuk mengelirukan lawan dan ia nampak berjaya.
"Begitupun saya puas hati apabila Kedah berjaya mencapai matlamat mengutip tiga mata penuh pada perlawanan tersebut," katanya.

Pada perlawanan itu, Kedah memperoleh jaringan pertama melalui Fauzi Shaari pada minit ke-35 sebelum Shahrulnizam Mustapha dan Khyril menambah kedudukan minit ke-45 dan 48, manakala jaringan tunggal Perak dihasilkan oleh Isma Alif Mohd. Salim minit ke-73.

Azraai berkata, kejayaan yang dicatatkan anak didiknya itu telah menempatkan mereka di tempat ketiga, sekali gus mencetus semangat juang yang lebih tinggi kepada pemain apabila pasukan tersebut pernah menghuni kedudukan tercorot pada awal musim.
Tambahnya, beliau juga akan terus melakukan percaturan yang berlainan bagi menyesuaikan pemain untuk bersaing dalam situasi yang tidak menentu jika pasukan itu kekurangan pemain selepas ini.

"Seperti ketika kebangkitan Kedah pada 2006, kami akan menjadikan pasukan ini sebagai platform kepada pemain muda mempamerkan bakat masing-masing dan seterusnya meraih kecemerlangan bersama skuad Kenari," ujarnya.

Thursday, May 14, 2009

Wednesday, May 13, 2009

Asrul wira Kedah



KETUA jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah menyifatkan pertemuan dengan Pulau Pinang begitu menyukarkan, namun lega selepas anak buahnya mencatat kemenangan 2-1 di Stadium Batu Kawan, malam tadi.

Bagaimanapun, menurutnya, kejayaan meraih tiga mata berharga begitu penting bagi memastikan mereka terus menghimpit pendahulu Liga Super, Perlis selain mencerahkan harapan mempertahankan kejuaraan liga dimenangi sejak dua musim lalu.

“Saya memang menjangkakan perlawanan sengit dan kemenangan tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang sudah membuktikannya. Pemain saya bangkit memastikan kejayaan selepas terikat seri 1-1 pada separuh masa pertama. Kemenangan ini diharap berterusan apabila berdepan Perak, Sabtu ini,” katanya.

Kedah bermula baik dan mereka terlebih dulu membuka tirai jaringan pada m-20 menerusi rembatan kencang, Mohd Khyril Muhaymeen Zambri namun kedudukan itu hanya bertahan seminit apabila tuan rumah menyamakan kedudukan melalui S Thingaran.










Anak buah Azraai terus mengasak bagi memburu gol kemenangan dan mereka berjaya menjaringkan gol menerusi tendangan Asrul Ahmad pada m-75.




Keputusan ini membolehkan Kedah melonjak ke tangga ketiga liga, mengumpul 28 mata - ketinggalan empat mata kepada Perlis dan tiga mata di belakang Selangor di tangga kedua.

Azraai berkata, selain tumpuan mereka kepada pertemuan Sabtu ini, mereka juga perlu memastikan kemenangan mengatasi kelab Thailand, Chonburi FC pada saingan Piala AFC 2009 di Bangkok, Selasa depan, untuk layak suku akhir.

Sementara itu, penyerang muda, Khyril Muhymeen lega apabila menemui semula sentuhan yang sebelum gagal dilakukan pada perlawanan lalu.

“Kini, selepas berjaya menjaringkan gol ketika mengatasi ACB Hanoi pada saingan Piala AFC sebelum ini dan menemui sasaran perlawanan itu (menentang Pulau Pinang), ia begitu melegakan saya.

“Saya sekarang lebih yakin menjaringkan gol dan apa yang penting, kami berjaya meraih tiga mata berharga untuk terus kekal sebagai pencabar utama musim ini.

“Saya yakin kami mampu menang ke atas Perak jika semangat dan kesungguhan dipamerkan semua pemain malam ini, diambil kira,” katanya.

Di Stadium Darulaman, Kuala Muda Naza turut tidak ketinggalan mengutip tiga mata penuh selepas menumpaskan KL Plus, 2-0.

Kedua-dua gol dijaringkan bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-4 dan m-88.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil, selepas gagal meraih Piala FA buat pertama kali baru-baru ini, Kelantan terus ditimpa malang apabila tunduk 2-1 kepada Johor FC.

Tuesday, May 12, 2009

Tugas berat di Batu Kawan


KETUA jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah memberi amaran kepada pemainnya bukan mudah untuk mengatasi Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan, saingan Liga Super, malam ini selepas mengambil kira kemenangan skuad itu ke atas Perak di Ipoh, minggu lalu.

Menurutnya, Pulau Pinang berjaya meningkatkan prestasi berbanding awal musim ketika mereka menjadi pasukan belasahan, kini, bantuan beberapa pemain senior pemain muda membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan corak permainan diaturkan.

“Saya sudah bersemuka dengan pemain dan menyedarkan mereka tugas berat bakal menanti di Batu kawan. Mereka tidak boleh anggap Pulau Pinang mudah diatasi hanya kerana kedudukan mereka pada tangga bawah liga ketika ini.

“Apa yang melegakan saya ialah kembalinya penyerang muda, Fadly (Baharom) yang direhatkan sejak lebih sebulan lalu kerana nahas jalan raya.

“Saya yakin kalau mereka dapat beraksi seperti dipamerkan ketika membelasah ACB Hanoi 7-0 pada perlawanan Piala AFC Selasa lalu, tidak ada sebab mengapa kita tidak mampu mengutip mata penuh (pada perlawanan itu),” kata Azraai.

Tuesday, May 5, 2009

Kedah mengamuk di Darul Aman

KEDAH mengamuk di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Mereka tampil bergaya apabila membelasah kelab ACB Hanoi 7-0 pada perlawanan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Walaupun turun tanpa empat tonggak utama tetapi skuad tuan rumah mempergunakan sepenuhnya peluang beraksi di Stadium Darul Aman.

Berbekal misi untuk mengutip tiga mata penuh, kesebelasan Kedah mempamerkan kesungguhan yang sungguh luar biasa tanpa memberi sebarang ruang kepada lawan untuk melancarkan gerak.

Gol pembukaan Kedah diperoleh seawal minit ke-13 menerusi Mohd. Azrul Ahmad sebelum dia meledak gol kedua pada minit ke-30.

Selepas itu, Mohd. Farizal Rozali pula mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-33 untuk menjadikan kedudukan 3-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, rentak permainan Kedah semakin teratur dan hasilnya mereka terus merobek gawang lawan menerusi jaringan Mohd. Afif Amiruddin pada minit ke- 63.

Mohd. Sabree Abu terus mengukuhkan kedudukan Kedah apabila meledak jaringan kelima pada minit ke-68.

Selepas itu, Kedah dihadiahkan pula dengan sepakan penalti selepas Sabree dijatuhkan oleh pertahanan ACB Hanoi, Ho Tanh Thuong dalam kawasan penalti.

Azrul yang mengambil sepakan tersebut mudah menyempurnakannya untuk melengkapkan jaringan hatriknya ada perlawanan itu.

Shahrulnizam Mustapha menjadikan kedudukan 7-0 pada minit ke-90 bagi melengkapkan malam gemilang skuad Kenari itu.

Sementara itu, satu lagi wakil negara ke Piala AFC, Johor FC tewas 0-2 kepada kelab V.B dari Maldives.

Perlawanan tersebut berlangsung di Stadium Nasional Male, Maldives.

Tuesday, April 28, 2009

Strategi Azraai menjadi

Strategi Azraai menjadi
Oleh Bashah Zainol Abidin dan Rizar Mohd Noor
sukan@hmetro.com.my

HARAPAN Kedah mahu mempertahankan gelaran Liga Super yang dimenangi sejak dua tahun lalu semakin cerah selepas mencipta kemenangan 3-1 ke atas Pahang, malam tadi.

Melayan kunjungan Pahang di Stadium Darulaman, skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah itu seperti dijangka, mudah menundukkan pasukan kedua tercorot itu dan kini berkongsi 25 mata dengan Selangor dan Kelantan, dibezakan melalui jumlah perbezaan gol.

Bagi Azraai, beliau bangga dengan prestasi dipamerkan anak buahnya dengan memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh.

“Saya teruja dengan prestasi anak buah saya pada separuh masa pertama, tapi selepas rehat, pemain saya seolah-olah memperlahankan permainan dan ini membuka peluang kepada lawan untuk menekan kami.

“Apa yang penting, kami berjaya meraih tiga mata dan kemenangan ini pasti akan meningkatkan semangat serta keyakinan pemain saya ketika berdepan lawan dari Vietnam pada pertandingan Piala AFC, Selasa depan,” katanya.

Gol Kedah dijaringkan Faizal Abu Bakar, kemudiannya, Shahrulnizam Mustapha dan Khyril Muhymeen. Gol tunggal Pahang dijaringkan Mohd Sharizan Md salleh.

Sementara itu, tiga mata yang begitu ditagih Johor FC terhasil selepas menewaskan Polis 4-0 di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Gol Johor FC dijaringkan ketua pasukan, Wan Rohaimi Ismail pada minit ke-36, Mohd Syaiful Sabtu (m-46) Nurul Azwan Roya (m-81 dan 88) yang meletakkan Polis di ambang penyingkiran ke Liga Perdana musim depan.

Khyril idam robek gawang Tok Gajah



Khyril idam robek gawang Tok Gajah
Oleh Bashah Zainol Abidin dan Asrol Awang
am@hmetro.com.my

“TIGA mata penuh menjadi matlamat Kedah berdepan cabaran Pahang di Stadium Darulaman bagi meneruskan cabaran memburu trofi Liga Super musim ini,” kata penjaring dua gol, Khyril Muhymeen Zambri bertemu Eastern Athletic di Hong Kong, minggu lalu.

Menurutnya, Kedah tidak mempunyai pilihan lain kecuali meraih tiga mata penuh.

“Saya bersyukur kerana sudah menemui kembali sentuhan penyudah setelah ketandusan gol pada beberapa perlawanan lalu, terutama ketika diaibkan Kelantan di Alor Star.

“Kupayaan Pahang tidak boleh dinafikan dan jika ambil sikap lewa, Kedah mungkin menerima kejutan.

“Kini kombinasi saya dengan Fadly Baharom, Faizal Abu Bakar dan Badrul Bakhtiar sudah mula menunjukkan peningkatan dan buktinya kemampuan kami merobek gawan lawan,” kata Khyril.

Katanya, tidak kira siapa penjaring gol, kemenangan adalah satu kewajipan buat kesebelasan Kedah.

Lagipun, tambahnya, Kedah tidak jauh ketinggalan berbanding mata diperolehi Perlis dan mereka hanya mampu mengejar Perlis dengan memastikan kemenangan berterusan pada baki perlawanan liga musim ini.

“Saya yakin kami mampu mengatasi Pahang tetapi ini hanya dapat dilakukan dengan kesungguhan pemain menurut strategi ketua jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Pahang yang dikritik hebat, Tajuddin Nor mahu pemainnya bangkit garang dalam memburu kemenangan di gelanggang sendiri.

“Pemain di bahagian serangan perlu bijak memburu gol, manakala benteng kemas mengawal kubu,” katanya yang menyandarkan harapan kepada Mohd Azamuddin Akil dan Razlan Oto.

Wednesday, April 22, 2009

Kedah megah, Johor FC rebah



KEPUTUSAN seri 3-3 ketika bertemu Eastern Athletic di Hong Kong malam tadi memastikan peluang masih terbuka untuk Kedah melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala AFC musim ini.

Ketua jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah, berkata pasukannya kurang bernasib baik kerana lawan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-93 perlawanan.

“Kita berjaya mendahului dengan dua gol tetapi Eastern Atheletic dengan pemain importnya berjaya menyamakan kedudukan tetapi kelebihan 3-2 yang dimiliki sehingga minit ke 90 gagal dipertahankan pemain pertahanan.

“Walaupun seri, peluang untuk layak ke pusingan kedua masih cerah dan kemenangan ke atas ACB Hanoi di Alor Star akan memastikan laluan ke peringkat suku akhir,” kata Azraai.

“Anak buah saya beraksi dengan baik untuk menjaringkan tiga gol menerusi dua gol Khyril Muhymeen dan satu, Sabri Abu tetapi nasib tidak menyebelahi kita kerana lawan berjaya menyamakan kedudukan tiga minit pada masa kecederaan,” kata Azraai.

Sementara itu, jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid terpaksa menerima hakikat betapa saingan Piala AFC tampak terlalu tinggi buat Si Lebah selepas dibelasah 1-4 oleh South China dari Hong Kong dalam saingan pusingan kedua di Stadium JCorp, Pasir Gudang, petang semalam.

“Memang ia pendedahan terbaik buat Johor FC tetapi masih belum mampu menyaingi kehebatan pasukan lawan yang lebih bersedia tetapi saya lihat kepada senario positif bola sepak buat pasukan bertaraf kelab.

“Kekalahan itu amat mengecewakan apabila pemain terlalu perlahan dan tidak mengikut arahan malah sering hilang bola dan terlalu bergantung kepada Eddy Helmi yang sentiasa bekerja keras tetapi pemain lain tidak bekerjasama,” jelas Ramlan.

Gol South China diperoleh menerui Carlos Ferrrari pada m-29 dan 89. Tales Schuzt (m-47) serta Chan Chi Hong (m-65). Gol tunggal Johor FC dijaringkan Eddy Helmi Manan pada m-50.

Friday, April 17, 2009

KFA persatuan bola sepak pertama patenkan logo

ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) adalah persatuan bola sepak pertama di Malaysia yang mempatenkan logonya. Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),

Kamel Mohamad berkata, mereka menerima permohonan daripada KFA pada 11 Januari lalu untuk menggunakan tanda ‘TM’ pada logo KFA. Menurutnya, KFA menjadi persatuan bola sepak pertama dari Kedah dan di negara ini yang memohon mempatenkan tanda itu di logonya.

“Tetapi, KFA perlu melalui beberapa proses lain sebelum mendapat hak sepenuhnya iaitu tanda pada logo mereka seperti yang telah ditetapkan dalam Akta Cap Dagangan 1976. “Jadi, kini mana-mana individu atau syarikat tidak dibenarkan menggunakan logo KFA kecuali mereka yang telah dipersetujui untuk menggunakan tanda itu,” katanya kepada sidang media di sini, kelmarin.

Kata Kamel, masih banyak lagi syarikat dan persatuan lain yang tidak berdaftar dengan MyIPO untuk mendapatkan hak eksklusif itu. “Mereka yang memohon cap dagangan hanya perlu membayar sebanyak RM700 bagi tempoh 10 tahun.

“Ramai yang masih kurang sedar mengenai kepentingan mendaftarkan logo perniagaan. Jadi, saya sarankan agar mereka berbuat demikian. ”Apabila semua telah berdaftar, mereka akan memperoleh hak eksklusif dan tiada siapa yang dibenarkan untuk menggunakan logo itu tanpa persetujuan,” katanya. Menurutnya, apabila mereka sudah mempatenkan logo, mereka perlu mengekalkannya dari segi kualiti. ”

Ini membantu juga pengguna untuk mengenal pasti suatu produk yang benar-benar berkualiti dan asli selepas ia dipatenkan. ”Selain itu, persatuan yang telah berdaftar di negeri asal akan diberi tempoh enam bulan untuk mendaftar di negeri lain jika produk mereka digunakan secara meluas di serata tempat,” kata Kamel.

Beliau ditemui selepas mengadakan konvoi Kembara Hari Harta Intelek Negara 2009 di sini. Konvoi yang bermula sejak 7 April lalu akan berakhir pada 26 April nanti di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Thursday, April 16, 2009

Azraai akur keputusan KFA

KETUA jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah sedia menerima apa sahaja keputusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sama ada mahu melepaskannya atau tidak.
Ketika ini, nama Azraai disebut-sebut sebagai calon tunggal untuk mengemudi skuad kebangsaan.

Menurut Azraai, sebagai jurulatih profesional, beliau akur dengan sebarang keputusan yang bakal diputuskan majikannya berhubung lamaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai perkara tersebut.

Jelasnya, beliau sememangnya berminat dan bersedia untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan kerana mahu mencuba cabaran baru yang lebih besar.

"Saya suka cabaran. Setelah membimbing pasukan domestik, rasa teringin untuk menggalas tanggungjawab lebih besar membentuk pasukan kebangsaan.

"Namun, segala-galanya terserah kepada majikan saya, KFA dan
FAM. Apa sahaja keputusan saya akur," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pembukaan kedai barangan sukan, Al-ikhsan di Jalan Teluk Wan Jah, Alor Setar semalam.

Akhbar tempatan semalam melaporkan, KFA berat hati untuk melepaskan Azraai yang memiliki reputasi tinggi dengan skuad Kenari.
Menurut Azraai, secara peribadi, beliau juga agak keberatan untuk meninggalkan Kedah setelah membentuk ramai pemain muda berpotensi.

"Saya tidak boleh membelakangkan majikan berbincang secara sulit dengan FAM untuk menerimanya tetapi menyerahkan kepada majikan untuk memutuskannya," katanya yang mempunyai kontrak bersama Kedah hingga Disember 2010.

Tambahnya, jika dilepaskan KFA untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan, beliau tetap memikirkan nasib pemain dan pasukan Kedah yang akan dibimbing jurulatih baru.
"Dalam bola sepak, jurulatih mempunyai cara berbeza untuk membimbing pasukan termasuk pencarian pemain selain pendekatan takti- kal dan teknikal.
"Lain padang lain belalang. Saya lebih gemar membentuk pemain muda kerana mereka boleh memberi harapan kepada pasukan. Ada juru- latih suka mengambil pemain berpengalaman. Itu berbeza dan ia terserah kepada jurulatih," katanya.
Ditanya langkah yang akan diambil setelah menerajui skuad kebangsaan, Azraai memberitahu: "Saya akan membentuk pasukan dengan pemain muda selain menyerapkan beberapa pemain senior yang masih mampu menyumbang kepada pasukan."

Wednesday, April 8, 2009

Peluang Kedah mara cerah

Peluang Kedah mara cerah
Oleh Bashah Zainol Abidin


KETUA jurulatih pasukan Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah menyifatkan kemenangan mengatasi kelab dari Hong Kong, Eastern Athletic, 2-0 sebagai berharga kerana peluang untuk layak ke pusingan kedua bertambah cerah.

Menurutnya, beliau terpaksa menggunakan beberapa pemain muda kerana Khyril Muhymeen Zambri dan V Thirumurugan tercedera ketika berlatih.

“Kami berjaya mengutip tiga mata pertama selepas melalui tiga perlawanan dan kemenangan tadi (semalam) pasti mencerahkan harapan kami untuk beraksi pada pusingan kedua.

“Apa yang tidak memuaskan hati saya ialah corak permainan dan ketandusan menemui sasaran ketika peluang menjelma, kalau tidak kerana kelemahan ini, sudah pasti kemenangan lebih selesa dapat diraih.










“Kemenangan itu berjaya menaikkan semangat barisan pemain saya yang kelihatan sedikit sugul sebelum perlawanan bermula tetapi mereka kini pasti lebih yakin dengan diri sendiri ketika bertemu Terengganu, 11 April depan,” kata Azraai.


Katanya, bagi mencerahkan harapan melayakkan diri ke pusingan kedua mereka perlu mencari mata penuh ketika bertemu Eastern Athletic di Hong Kong selepas ini dan beliau yakin pemainnya tidak akan menghadapi masalah beraksi di sana kerana musim lalu mereka beraksi gelanggang yang sama.

“Saya yakin ketika beraksi pada Liga Super Sabtu depan barisan pemain yang cedera akan dapat beraksi kembali untuk meraih kemenangan setelah kecundang kepada Kelantan Sabtu lalu,” katanya.

“Barisan pemain simpanan yang beraksi pada perlawanan tadi (semalam) berjaya beraksi dengan baik dan saya yakin kalau mereka perlu beraksi Sabtu depan mereka tidak akan menghadapi masalah bagi memastikan prestasi kita terus mantap,” kata Azraai.

Dua gol Kedah dijaringkan Mohd Farizal Rozali pada minit ke 27 dan Azrul Ahmad pada minit ke-77.

Thursday, April 2, 2009

Dua gol awal lebur Pahang



JURULATIH Pahang, Tajuddin Nor menjelaskan bahawa dua gol awal Kedah memadamkan terus impian skuad kendaliannya meraih mata apabila tewas 2-4 dalam saingan Liga Super, kelmarin.

Menurutnya, kegagalan pemainnya beraksi mantap dan bertenaga terutama pada separuh masa pertama dengan membenarkan lawan menjaringkan dua gol, banyak mempengaruhi permainan.

Namun, katanya, kebangkitan yang dipamerkan pemainnya untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada babak kedua membuktikan semangat mereka begitu tinggi.

“Tapi, kesilapan sendiri menyebabkan Kedah berjaya menambah dua gol yang menghalang Pahang mengutip sekurang-kurangnya satu mata.

“Jika dilihat persembahan, mereka memberikan komitmen 100 peratus tetapi pengalaman pertama beraksi dalam saingan Liga Super memberikan kelebihan kepada Kedah,” katanya.

Tajuddin jelas kecewa dan mahu pemainnya tidak lagi melakukan kesilapan mudah hingga membataskan peluang meraih kemenangan dan memperbaiki kedudukan.

Kedah mula tonjol keupayaan



ALOR SETAR - Tatkala Perlis, Selangor dan Kelantan mencuri tumpuan dalam saingan awal memburu mahkota Liga Super pada musim ini, penyandang juara Kedah yang 'tenggelam' mula menampakkan ciri dan keupayaannya sebagai pasukan elit negara.

Meskipun mengharungi perlawanan awal musim dalam suasana kurang memberangsangkan, skuad bimbingan Mohd. Azraai Khor Abdullah itu kini tidak boleh disisih atau dinafikan peluang mereka untuk mempertahankan gelaran juara liga buat musim ketiga berturut-turut.

Jika pada awal Februari lalu, Sang Kenari menghuni tangga kedua tercorot Liga Super selepas hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan, namun pasukan itu mengorak langkah menuju ke kelompok lima pasukan teratas.

Malah pasukan Hijau Kuning hanya dipisahkan dengan perbezaan tiga mata sahaja dengan peneraju liga, Perlis yang mengumpul 22 mata apabila mencatat enam kemenangan berturut-turut.

"Saya optimis Kedah mampu merpertahankan kejuaraan Liga Super jika para pemain terus komited dan berkerja kuat, Insya-Allah.

"Apa yang kami buat sekarang ialah mengambil tiga mata penuh dalam setiap perlawanan untuk naik satu langkah demi satu langkah dalam saingan liga," katanya Mohd. Azraai ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Dalam perlawanan terbaru menentang Pahang di Stadium Darul Makmur kelmarin, Kedah menewaskan pasukan Tok Gajah 4-2 untuk berada dalam kelompok selaku pencabar gelaran Liga Super.

Beliau mengakui Kedah melalui perlawanan yang gugup pada awal musim kerana ketiadaan pemain import dan pada masa itu agak keterlaluan untuk mengharapkan pemain yang baru digandingkan berada pada tahap terbaik mereka.

Ini kerana, katanya, mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan membentuk persefahaman antara pemain baru dan lama yang digandingkan.