ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) adalah persatuan bola sepak pertama di Malaysia yang mempatenkan logonya. Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),
Kamel Mohamad berkata, mereka menerima permohonan daripada KFA pada 11 Januari lalu untuk menggunakan tanda ‘TM’ pada logo KFA. Menurutnya, KFA menjadi persatuan bola sepak pertama dari Kedah dan di negara ini yang memohon mempatenkan tanda itu di logonya.
“Tetapi, KFA perlu melalui beberapa proses lain sebelum mendapat hak sepenuhnya iaitu tanda pada logo mereka seperti yang telah ditetapkan dalam Akta Cap Dagangan 1976. “Jadi, kini mana-mana individu atau syarikat tidak dibenarkan menggunakan logo KFA kecuali mereka yang telah dipersetujui untuk menggunakan tanda itu,” katanya kepada sidang media di sini, kelmarin.
Kata Kamel, masih banyak lagi syarikat dan persatuan lain yang tidak berdaftar dengan MyIPO untuk mendapatkan hak eksklusif itu. “Mereka yang memohon cap dagangan hanya perlu membayar sebanyak RM700 bagi tempoh 10 tahun.
“Ramai yang masih kurang sedar mengenai kepentingan mendaftarkan logo perniagaan. Jadi, saya sarankan agar mereka berbuat demikian. ”Apabila semua telah berdaftar, mereka akan memperoleh hak eksklusif dan tiada siapa yang dibenarkan untuk menggunakan logo itu tanpa persetujuan,” katanya. Menurutnya, apabila mereka sudah mempatenkan logo, mereka perlu mengekalkannya dari segi kualiti. ”
Ini membantu juga pengguna untuk mengenal pasti suatu produk yang benar-benar berkualiti dan asli selepas ia dipatenkan. ”Selain itu, persatuan yang telah berdaftar di negeri asal akan diberi tempoh enam bulan untuk mendaftar di negeri lain jika produk mereka digunakan secara meluas di serata tempat,” kata Kamel.
Beliau ditemui selepas mengadakan konvoi Kembara Hari Harta Intelek Negara 2009 di sini. Konvoi yang bermula sejak 7 April lalu akan berakhir pada 26 April nanti di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment