KETUA jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah sedia menerima apa sahaja keputusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sama ada mahu melepaskannya atau tidak.
Ketika ini, nama Azraai disebut-sebut sebagai calon tunggal untuk mengemudi skuad kebangsaan.
Menurut Azraai, sebagai jurulatih profesional, beliau akur dengan sebarang keputusan yang bakal diputuskan majikannya berhubung lamaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai perkara tersebut.
Jelasnya, beliau sememangnya berminat dan bersedia untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan kerana mahu mencuba cabaran baru yang lebih besar.
"Saya suka cabaran. Setelah membimbing pasukan domestik, rasa teringin untuk menggalas tanggungjawab lebih besar membentuk pasukan kebangsaan.
"Namun, segala-galanya terserah kepada majikan saya, KFA dan
FAM. Apa sahaja keputusan saya akur," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pembukaan kedai barangan sukan, Al-ikhsan di Jalan Teluk Wan Jah, Alor Setar semalam.
Akhbar tempatan semalam melaporkan, KFA berat hati untuk melepaskan Azraai yang memiliki reputasi tinggi dengan skuad Kenari.
Menurut Azraai, secara peribadi, beliau juga agak keberatan untuk meninggalkan Kedah setelah membentuk ramai pemain muda berpotensi.
"Saya tidak boleh membelakangkan majikan berbincang secara sulit dengan FAM untuk menerimanya tetapi menyerahkan kepada majikan untuk memutuskannya," katanya yang mempunyai kontrak bersama Kedah hingga Disember 2010.
Tambahnya, jika dilepaskan KFA untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan, beliau tetap memikirkan nasib pemain dan pasukan Kedah yang akan dibimbing jurulatih baru.
"Dalam bola sepak, jurulatih mempunyai cara berbeza untuk membimbing pasukan termasuk pencarian pemain selain pendekatan takti- kal dan teknikal.
"Lain padang lain belalang. Saya lebih gemar membentuk pemain muda kerana mereka boleh memberi harapan kepada pasukan. Ada juru- latih suka mengambil pemain berpengalaman. Itu berbeza dan ia terserah kepada jurulatih," katanya.
Ditanya langkah yang akan diambil setelah menerajui skuad kebangsaan, Azraai memberitahu: "Saya akan membentuk pasukan dengan pemain muda selain menyerapkan beberapa pemain senior yang masih mampu menyumbang kepada pasukan."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment