Tuesday, April 28, 2009

Strategi Azraai menjadi

Strategi Azraai menjadi
Oleh Bashah Zainol Abidin dan Rizar Mohd Noor
sukan@hmetro.com.my

HARAPAN Kedah mahu mempertahankan gelaran Liga Super yang dimenangi sejak dua tahun lalu semakin cerah selepas mencipta kemenangan 3-1 ke atas Pahang, malam tadi.

Melayan kunjungan Pahang di Stadium Darulaman, skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah itu seperti dijangka, mudah menundukkan pasukan kedua tercorot itu dan kini berkongsi 25 mata dengan Selangor dan Kelantan, dibezakan melalui jumlah perbezaan gol.

Bagi Azraai, beliau bangga dengan prestasi dipamerkan anak buahnya dengan memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh.

“Saya teruja dengan prestasi anak buah saya pada separuh masa pertama, tapi selepas rehat, pemain saya seolah-olah memperlahankan permainan dan ini membuka peluang kepada lawan untuk menekan kami.

“Apa yang penting, kami berjaya meraih tiga mata dan kemenangan ini pasti akan meningkatkan semangat serta keyakinan pemain saya ketika berdepan lawan dari Vietnam pada pertandingan Piala AFC, Selasa depan,” katanya.

Gol Kedah dijaringkan Faizal Abu Bakar, kemudiannya, Shahrulnizam Mustapha dan Khyril Muhymeen. Gol tunggal Pahang dijaringkan Mohd Sharizan Md salleh.

Sementara itu, tiga mata yang begitu ditagih Johor FC terhasil selepas menewaskan Polis 4-0 di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Gol Johor FC dijaringkan ketua pasukan, Wan Rohaimi Ismail pada minit ke-36, Mohd Syaiful Sabtu (m-46) Nurul Azwan Roya (m-81 dan 88) yang meletakkan Polis di ambang penyingkiran ke Liga Perdana musim depan.

No comments:

Post a Comment