Peluang Kedah mara cerah
Oleh Bashah Zainol Abidin
KETUA jurulatih pasukan Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah menyifatkan kemenangan mengatasi kelab dari Hong Kong, Eastern Athletic, 2-0 sebagai berharga kerana peluang untuk layak ke pusingan kedua bertambah cerah.
Menurutnya, beliau terpaksa menggunakan beberapa pemain muda kerana Khyril Muhymeen Zambri dan V Thirumurugan tercedera ketika berlatih.
“Kami berjaya mengutip tiga mata pertama selepas melalui tiga perlawanan dan kemenangan tadi (semalam) pasti mencerahkan harapan kami untuk beraksi pada pusingan kedua.
“Apa yang tidak memuaskan hati saya ialah corak permainan dan ketandusan menemui sasaran ketika peluang menjelma, kalau tidak kerana kelemahan ini, sudah pasti kemenangan lebih selesa dapat diraih.
“Kemenangan itu berjaya menaikkan semangat barisan pemain saya yang kelihatan sedikit sugul sebelum perlawanan bermula tetapi mereka kini pasti lebih yakin dengan diri sendiri ketika bertemu Terengganu, 11 April depan,” kata Azraai.
Katanya, bagi mencerahkan harapan melayakkan diri ke pusingan kedua mereka perlu mencari mata penuh ketika bertemu Eastern Athletic di Hong Kong selepas ini dan beliau yakin pemainnya tidak akan menghadapi masalah beraksi di sana kerana musim lalu mereka beraksi gelanggang yang sama.
“Saya yakin ketika beraksi pada Liga Super Sabtu depan barisan pemain yang cedera akan dapat beraksi kembali untuk meraih kemenangan setelah kecundang kepada Kelantan Sabtu lalu,” katanya.
“Barisan pemain simpanan yang beraksi pada perlawanan tadi (semalam) berjaya beraksi dengan baik dan saya yakin kalau mereka perlu beraksi Sabtu depan mereka tidak akan menghadapi masalah bagi memastikan prestasi kita terus mantap,” kata Azraai.
Dua gol Kedah dijaringkan Mohd Farizal Rozali pada minit ke 27 dan Azrul Ahmad pada minit ke-77.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment