Sunday, May 31, 2009

Kedah diikat Perlis


ALOR SETAR – Kedah gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri Stadium Darulaman, di sini untuk mencari ‘penawar’ apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Perlis pada perlawanan bola sepak Liga Super, malam tadi.

Selepas dikecewakan Perak 1-0, Kedah cuba bangkit untuk memperbaiki kedudukannya tetapi saingan sengit dari Perlis yang turut memburu mata penuh untuk memintas Selangor di tangga teratas liga menyaksikan tuan rumah terpaksa berkongsi mata.

Kedua-dua pasukan berjiran itu masing-masing mencari kemenangan untuk memperbaiki kedudukan dalam kelompok teratas liga khususnya Perlis yang berada di tangga kedua dengan 38 mata manakala pendahulu, Selangor mengumpul 40 mata.

Sebaik pengadil, Mohd. Yusof Md. Karim meniupkan wisel memulakan aksi, hampir 30 minit permainan berlangsung, kedua-dua pasukan gagal menemui rentak walaupun terdapat beberapa serangan yang diatur.

Kedah yang menyandarkan harapan kepada Mohd. Khyril Muhymeen dan Badrol Bakhtiar di barisan depan masih gagal menguji penjaga gol Perlis, Mohd Farizal, begitu juga dengan pasukan pelawat yang mengharapkan sentuhan Nizaruddin Yussof.

Malang bagi Kedah apabila penjaga gawangnya, Mohd. Helmi Eliza Elias terpaksa dikeluarkan pada minit ke-33 selepas dia mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan kubu Kedah dalam satu pergelutan di gol pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, peluang di sebalik ketiadaan Helmi Eliza gagal dimanfaatkan Perlis, malah penjaga gol gantian, Mohd. Al-Hafiz langsung tidak menerima tekanan daripada penyerang pasukan pelawat.

Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, Kedah cuba bangkit untuk mencari jaringan pendahuluan pada separuh masa kedua menerusi asakan bertali arus ke kubu pasukan pelawat.

Selang seminit aksi babak kedua berlangsung, Kedah hampir memperoleh jaringan tetapi sepakan percuma cantik Badrol dari luar kotak penalti Perlis ditepis penjaga gol, Mohd. Farizal, Marlias sekali gus melegakan Perlis.

Dua minit selepas itu, Kedah terus melakukan serangan gagal dimanfaatkan Mohd. Farizal beraksi cemerlang menepis rembatan Mohd. Faizal Abu Bakar.

Ternyata Kedah mempersiakan-siakan beberapa peluang lagi walaupun pada pemainnya berada pada kedudukan cukup selesa untuk menghasilkan gol termasuk percubaan lemah Mohd. Sabri Abu yang berjaya didakap kemas Mohd. Farizal pada minit ke-73.

Seminit kemudian, sekali lagi kesempatan terhidang buat Kedah tetapi rembatan kencang jarak jauh Mohd. Hisham Sofi hanya sedikit melewati palang gol Perlis, begitu juga rembatan Mohd. Khyril yang tersasar pada minit ke-78 dan kemudiannya aksi diteruskan tanpa jaringan sehingga perlawanan berakhir.

Friday, May 29, 2009

Azraai terkilan Kedah terpaksa harungi jadual padat

JUARA treble, Kedah ternyata terkilan apabila terpaksa berdepan Perlis pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Malah pengendali skuad Hijau Kuning, Mohd. Azraai Khor Abdullah menganggap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai 'kalut' kerana menetapkan aksi Liga Super itu.

Sejak 19 Mei lalu, Kedah telah mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh yang agak singkat.

Selepas menentang Chonburi FC pada saingan Piala AFC di Bangkok, Kedah terpaksa bertemu Sela- ngor dalam aksi Liga Super di Shah Alam empat hari kemudian.

Berselang tiga hari kemudian, skuad kendalian Azraai itu berdepan pula Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.

Menurut Azraai, beliau terkilan dengan tindakan FAM yang tidak dapat memahami situasi pasukannya yang terpaksa mengharungi jadual padat.

"Di saat kami berjaya menaikkan nama negara dengan layak ke pusi- ngan kedua Piala AFC, kami terus menerima tekanan dengan jadual ketat selain beberapa pemain diheret untuk mewakili negara.

"Saya tidak faham kenapa situasi ini terjadi dan kami berasa sedih kerana perjuangan yang dilakukan pada peringkat antarabangsa tidak dihargai FAM," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelasnya, akibat keletihan, skuadnya telah tewas dua kali berturut-turut selain kehilangan tonggak utama akibat kecederaan.

Katanya, sebagai jurulatih, beliau kini tertekan untuk melengkapkan jadual perlawanan musim ini.

"Apa yang boleh saya katakan. Kami bukan terpaksa beraksi dalam keadaan tempang, sebaliknya telah parah," ujarnya

Azraai terkilan Kedah terpaksa harungi jadual padat

JUARA treble, Kedah ternyata terkilan apabila terpaksa berdepan Perlis pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Malah pengendali skuad Hijau Kuning, Mohd. Azraai Khor Abdullah menganggap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai 'kalut' kerana menetapkan aksi Liga Super itu.

Sejak 19 Mei lalu, Kedah telah mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh yang agak singkat.

Selepas menentang Chonburi FC pada saingan Piala AFC di Bangkok, Kedah terpaksa bertemu Sela- ngor dalam aksi Liga Super di Shah Alam empat hari kemudian.

Berselang tiga hari kemudian, skuad kendalian Azraai itu berdepan pula Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.

Menurut Azraai, beliau terkilan dengan tindakan FAM yang tidak dapat memahami situasi pasukannya yang terpaksa mengharungi jadual padat.

"Di saat kami berjaya menaikkan nama negara dengan layak ke pusi- ngan kedua Piala AFC, kami terus menerima tekanan dengan jadual ketat selain beberapa pemain diheret untuk mewakili negara.

"Saya tidak faham kenapa situasi ini terjadi dan kami berasa sedih kerana perjuangan yang dilakukan pada peringkat antarabangsa tidak dihargai FAM," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelasnya, akibat keletihan, skuadnya telah tewas dua kali berturut-turut selain kehilangan tonggak utama akibat kecederaan.

Katanya, sebagai jurulatih, beliau kini tertekan untuk melengkapkan jadual perlawanan musim ini.

"Apa yang boleh saya katakan. Kami bukan terpaksa beraksi dalam keadaan tempang, sebaliknya telah parah," ujarnya

Wednesday, May 27, 2009

Harapan masih ada



"KEDAH tidak boleh kalah lagi jika mahu mengekalkan trofi Liga Super bagi musim ketiga berturut-turut."

Itu amaran penolong jurulatih Kedah, Radhi Mat Din selepas skuad Hijau Kuning tewas mengejut 0-1 kepada Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.

"Kami tidak boleh kalah lagi kerana ia akan meluaskan jurang perbezaan mata dengan pendahulu liga, Selangor," jelas Radhi.

Ekoran kekalahan itu, Radhi menuntut agar anak buahnya segera bangkit dan mengutip mata penuh dalam pertemuan dengan Perlis di Stadium Darul Aman Sabtu ini.

Selepas mengharungi 17 perlawanan, Kedah yang juga juara treble bagi dua musim berturut-turut ketinggalan sembilan mata di belakang Selangor.

Sekalipun menghuni tangga keempat, Kedah masih menaruh harapan untuk mengekalkan kejuaraannya musim ini.

"Walaupun berada di tangga keempat, kami masih berpeluang mengekal kejuaraan Piala Liga ini," jelas Radhi lagi.

Mengenai kekalahan mengejut Kedah malam kelmarin, Radhi berkata, kegagalan barisan serangan menyudahkan peluang gol serta kecuaian barisan pertahanan dan penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias menyebabkan mereka tumbang di Ipoh.

"Gol yang diperoleh Perak seolah-olah hadiah daripada Kedah akibat kesilapan yang sepatutnya tidak dilakukan oleh mereka.

"Kami berjaya menguasai perlawanan tetapi gagal menjaringkan gol," tambah Radhi.

Penjaring terbanyak Perak, Razali Umar Kandasamy muncul wira apabila berjaya mencuri bola daripada pertahanan Kedah sebelum menguis masuk bola ke gawang Kedah pada minit ke-47.

Tambah Radhi, ketiadaan tiga tonggak utamanya, Victor Andrag, V. Thirumurugan dan Ronny Harun turut menjejaskan rentak persembahan Kedah pada malam kelmarin.

"Yang jelas, ketiga-tiga pemain tersebut belum pasti beraksi Sabtu ini," kata Radhi.

Thursday, May 21, 2009

Selangor hati-hati hadapi Kedah


BIARPUN mudah membelasah Kedah 4-1 pada aksi sulung Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 3 Januari lalu yang juga merupakan perlawanan merebut Piala Sultan Ahmad Shah 2009, Selangor akan lebih berhati-hati apabila turun bertemu Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Jurulatih Selangor, K. Devan berkata, dia menjangkakan Kedah pasti akan lebih bersemangat untuk membalas dendam kekalahan itu tetapi Selangor juga tidak akan merelakan tiga mata penuh dirampas daripada gelanggang sendiri.

"Untuk mencatat kemenangan mudah 4-1 itu mungkin sukar. Ini kerana, ketika ini semua pasukan sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan lawan masing-masing setelah liga memasuki pusingan kedua.

"Jika perlawanan Sabtu ini dapat berlangsung dengan aksi permainan terbuka daripada kedua-dua pasukan, saya yakin berdasarkan kemampuan pemain yang ada, Selangor boleh mengatasi Kedah," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Malam kelmarin, Selangor mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Super apabila menewaskan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Bandaraya hasil jaringan Safee Sali pada minit ke-53.

"Ramai yang kata, bila Selangor lawan pasukan lemah, Selangor akan main teruk. Itu tidak tepat sebenarnya. Kami tetap beraksi baik seperti biasa dan menguasai permainan.

"Cuma kita kena faham, bila lawan pasukan lemah, mereka banyak tumpukan kepada kekuatan pasukan lawan."

Pada perlawanan kelmarin, Selangor menurunkan penjaga gol kedua, Nasril Nourdin selepas Hamsani Ahmad kurang sihat manakala pemain Piala Presiden, Raslam Khan Rashid membuat penampilan pertama apabila masuk menggantikan C. Premnath pada pertengahan babak kedua.

Selangor dengan 37 mata kini masih kekal di tangga kedua dengan ketinggalan satu mata berbanding pendahulu Liga Super, Perlis.

Kemenangan ke atas Kedah, Sabtu ini penting untuk menjarakkan diri dengan pasukan di tangga ketiga itu kerana Kedah kini mengumpul 31 mata tetapi masih kurang satu perlawanan.

Tuesday, May 19, 2009

Layak ke Pusingan Kedua Piala AFC

Kedah layak
Oleh Bashah Zainol Abidin dan Rizar Mohd Noor
sukan@hmetro.com.my
KETUA jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berpuas hati berikutan kejayaan pasukannya layak ke pusingan kedua Piala AFC 2009 walaupun kecundang 3-1 kepada kelab Thailand, Chonburi di Bangkok, malam tadi.

Kedah sudah tahu mereka layak ke peringkat itu sebelum aksi bermula selepas mendapat khabar kelab Vietnam, ACB Hanoi menundukkan kelab Hong Kong, Eastern Athlatic, 3-0.

Ekoran itulah membuatkan Azraai sekadar menurunkan pemain simpanan kerana mahu memastikan tidak ada kecederaan menghantui pemainnya apabila beraksi pada Liga Super dan juga perlawanan pusingan kedua Piala AFC nanti.

“Barisan pemain simpanan saya beraksi dengan baik tetapi pengalaman pemain Chonburi memastikan tiga mata berpihak kepada mereka. Hanya Khyril Muhymeen menjaringkan gol dan menceriakan saya kerana dia berjaya melakukannya pada lima perlawanan lalu.


“Kini tumpuan saya sudah pasti terhadap pertemuan dengan satu lagi pasukan juara Kumpulan H dari Vietnam, Binh Duong dan kejayaan kita melayakkan diri sudah pasti harumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Selain dari perlawanan Piala AFC saya mahu memastikan kita tidak ketinggalan jauh di belakang pendahulu Liga Super ketika ini Perlis dan Selangor yang menghuni tempat kedua,” kata Azraai.

Sementara itu, aksi lesu terus dipamerkan Johor FC apabila gagal menamatkan saingan Kumpulan F tanpa sebarang kemenangan selepas tewas 1-0 kepada PSMS Medan dari Indonesia di Stadium JCorp, Pasir Gudang, semalam.

Pelawat yang hadir dengan buruan untuk mencari keputusan seri selepas layak ke pusingan kedua berjaya mengejutkan tuan rumah m-66 hasil jaringan Mitchell Leonardo.

Monday, May 18, 2009

Kedah pulun kejar pendahulu


JUARA treble musim lalu, Kedah semakin mengukuhkan kedudukan di kelompok teratas Liga Super selepas menewaskan Perak 3-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.

Ekoran kejayaan itu, ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah menganggap percaturannya sejak daripada awal musim semakin menunjukkan hasil dan ia telah memberi keyakinan kepada mereka untuk terus mengejar pendahulu liga.

Menurut Azraai, setelah melakukan pelbagai percaturan dan gandingan pemain, usahanya itu sudah menampakkan hasil dan kini mereka meneruskan momentum kemenangan.

Katanya, pada perlawanan malam kelmarin beliau berhasrat menggandingkan Mohd. Azrul Ahmad dengan Faizal Abu Bakar di bahagian serangan, namun faktor kurang pengalaman memaksa beliau kembali meletakkan Khyril Muhymeen Zambri sebagai penyerang utama.

"Kita telah melakukan perubahan untuk mengelirukan lawan dan ia nampak berjaya.
"Begitupun saya puas hati apabila Kedah berjaya mencapai matlamat mengutip tiga mata penuh pada perlawanan tersebut," katanya.

Pada perlawanan itu, Kedah memperoleh jaringan pertama melalui Fauzi Shaari pada minit ke-35 sebelum Shahrulnizam Mustapha dan Khyril menambah kedudukan minit ke-45 dan 48, manakala jaringan tunggal Perak dihasilkan oleh Isma Alif Mohd. Salim minit ke-73.

Azraai berkata, kejayaan yang dicatatkan anak didiknya itu telah menempatkan mereka di tempat ketiga, sekali gus mencetus semangat juang yang lebih tinggi kepada pemain apabila pasukan tersebut pernah menghuni kedudukan tercorot pada awal musim.
Tambahnya, beliau juga akan terus melakukan percaturan yang berlainan bagi menyesuaikan pemain untuk bersaing dalam situasi yang tidak menentu jika pasukan itu kekurangan pemain selepas ini.

"Seperti ketika kebangkitan Kedah pada 2006, kami akan menjadikan pasukan ini sebagai platform kepada pemain muda mempamerkan bakat masing-masing dan seterusnya meraih kecemerlangan bersama skuad Kenari," ujarnya.

Thursday, May 14, 2009

Wednesday, May 13, 2009

Asrul wira Kedah



KETUA jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah menyifatkan pertemuan dengan Pulau Pinang begitu menyukarkan, namun lega selepas anak buahnya mencatat kemenangan 2-1 di Stadium Batu Kawan, malam tadi.

Bagaimanapun, menurutnya, kejayaan meraih tiga mata berharga begitu penting bagi memastikan mereka terus menghimpit pendahulu Liga Super, Perlis selain mencerahkan harapan mempertahankan kejuaraan liga dimenangi sejak dua musim lalu.

“Saya memang menjangkakan perlawanan sengit dan kemenangan tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang sudah membuktikannya. Pemain saya bangkit memastikan kejayaan selepas terikat seri 1-1 pada separuh masa pertama. Kemenangan ini diharap berterusan apabila berdepan Perak, Sabtu ini,” katanya.

Kedah bermula baik dan mereka terlebih dulu membuka tirai jaringan pada m-20 menerusi rembatan kencang, Mohd Khyril Muhaymeen Zambri namun kedudukan itu hanya bertahan seminit apabila tuan rumah menyamakan kedudukan melalui S Thingaran.










Anak buah Azraai terus mengasak bagi memburu gol kemenangan dan mereka berjaya menjaringkan gol menerusi tendangan Asrul Ahmad pada m-75.




Keputusan ini membolehkan Kedah melonjak ke tangga ketiga liga, mengumpul 28 mata - ketinggalan empat mata kepada Perlis dan tiga mata di belakang Selangor di tangga kedua.

Azraai berkata, selain tumpuan mereka kepada pertemuan Sabtu ini, mereka juga perlu memastikan kemenangan mengatasi kelab Thailand, Chonburi FC pada saingan Piala AFC 2009 di Bangkok, Selasa depan, untuk layak suku akhir.

Sementara itu, penyerang muda, Khyril Muhymeen lega apabila menemui semula sentuhan yang sebelum gagal dilakukan pada perlawanan lalu.

“Kini, selepas berjaya menjaringkan gol ketika mengatasi ACB Hanoi pada saingan Piala AFC sebelum ini dan menemui sasaran perlawanan itu (menentang Pulau Pinang), ia begitu melegakan saya.

“Saya sekarang lebih yakin menjaringkan gol dan apa yang penting, kami berjaya meraih tiga mata berharga untuk terus kekal sebagai pencabar utama musim ini.

“Saya yakin kami mampu menang ke atas Perak jika semangat dan kesungguhan dipamerkan semua pemain malam ini, diambil kira,” katanya.

Di Stadium Darulaman, Kuala Muda Naza turut tidak ketinggalan mengutip tiga mata penuh selepas menumpaskan KL Plus, 2-0.

Kedua-dua gol dijaringkan bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-4 dan m-88.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil, selepas gagal meraih Piala FA buat pertama kali baru-baru ini, Kelantan terus ditimpa malang apabila tunduk 2-1 kepada Johor FC.

Tuesday, May 12, 2009

Tugas berat di Batu Kawan


KETUA jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah memberi amaran kepada pemainnya bukan mudah untuk mengatasi Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan, saingan Liga Super, malam ini selepas mengambil kira kemenangan skuad itu ke atas Perak di Ipoh, minggu lalu.

Menurutnya, Pulau Pinang berjaya meningkatkan prestasi berbanding awal musim ketika mereka menjadi pasukan belasahan, kini, bantuan beberapa pemain senior pemain muda membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan corak permainan diaturkan.

“Saya sudah bersemuka dengan pemain dan menyedarkan mereka tugas berat bakal menanti di Batu kawan. Mereka tidak boleh anggap Pulau Pinang mudah diatasi hanya kerana kedudukan mereka pada tangga bawah liga ketika ini.

“Apa yang melegakan saya ialah kembalinya penyerang muda, Fadly (Baharom) yang direhatkan sejak lebih sebulan lalu kerana nahas jalan raya.

“Saya yakin kalau mereka dapat beraksi seperti dipamerkan ketika membelasah ACB Hanoi 7-0 pada perlawanan Piala AFC Selasa lalu, tidak ada sebab mengapa kita tidak mampu mengutip mata penuh (pada perlawanan itu),” kata Azraai.

Tuesday, May 5, 2009

Kedah mengamuk di Darul Aman

KEDAH mengamuk di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Mereka tampil bergaya apabila membelasah kelab ACB Hanoi 7-0 pada perlawanan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Walaupun turun tanpa empat tonggak utama tetapi skuad tuan rumah mempergunakan sepenuhnya peluang beraksi di Stadium Darul Aman.

Berbekal misi untuk mengutip tiga mata penuh, kesebelasan Kedah mempamerkan kesungguhan yang sungguh luar biasa tanpa memberi sebarang ruang kepada lawan untuk melancarkan gerak.

Gol pembukaan Kedah diperoleh seawal minit ke-13 menerusi Mohd. Azrul Ahmad sebelum dia meledak gol kedua pada minit ke-30.

Selepas itu, Mohd. Farizal Rozali pula mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-33 untuk menjadikan kedudukan 3-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, rentak permainan Kedah semakin teratur dan hasilnya mereka terus merobek gawang lawan menerusi jaringan Mohd. Afif Amiruddin pada minit ke- 63.

Mohd. Sabree Abu terus mengukuhkan kedudukan Kedah apabila meledak jaringan kelima pada minit ke-68.

Selepas itu, Kedah dihadiahkan pula dengan sepakan penalti selepas Sabree dijatuhkan oleh pertahanan ACB Hanoi, Ho Tanh Thuong dalam kawasan penalti.

Azrul yang mengambil sepakan tersebut mudah menyempurnakannya untuk melengkapkan jaringan hatriknya ada perlawanan itu.

Shahrulnizam Mustapha menjadikan kedudukan 7-0 pada minit ke-90 bagi melengkapkan malam gemilang skuad Kenari itu.

Sementara itu, satu lagi wakil negara ke Piala AFC, Johor FC tewas 0-2 kepada kelab V.B dari Maldives.

Perlawanan tersebut berlangsung di Stadium Nasional Male, Maldives.