BIARPUN mudah membelasah Kedah 4-1 pada aksi sulung Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 3 Januari lalu yang juga merupakan perlawanan merebut Piala Sultan Ahmad Shah 2009, Selangor akan lebih berhati-hati apabila turun bertemu Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Jurulatih Selangor, K. Devan berkata, dia menjangkakan Kedah pasti akan lebih bersemangat untuk membalas dendam kekalahan itu tetapi Selangor juga tidak akan merelakan tiga mata penuh dirampas daripada gelanggang sendiri.
"Untuk mencatat kemenangan mudah 4-1 itu mungkin sukar. Ini kerana, ketika ini semua pasukan sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan lawan masing-masing setelah liga memasuki pusingan kedua.
"Jika perlawanan Sabtu ini dapat berlangsung dengan aksi permainan terbuka daripada kedua-dua pasukan, saya yakin berdasarkan kemampuan pemain yang ada, Selangor boleh mengatasi Kedah," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Malam kelmarin, Selangor mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Super apabila menewaskan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Bandaraya hasil jaringan Safee Sali pada minit ke-53.
"Ramai yang kata, bila Selangor lawan pasukan lemah, Selangor akan main teruk. Itu tidak tepat sebenarnya. Kami tetap beraksi baik seperti biasa dan menguasai permainan.
"Cuma kita kena faham, bila lawan pasukan lemah, mereka banyak tumpukan kepada kekuatan pasukan lawan."
Pada perlawanan kelmarin, Selangor menurunkan penjaga gol kedua, Nasril Nourdin selepas Hamsani Ahmad kurang sihat manakala pemain Piala Presiden, Raslam Khan Rashid membuat penampilan pertama apabila masuk menggantikan C. Premnath pada pertengahan babak kedua.
Selangor dengan 37 mata kini masih kekal di tangga kedua dengan ketinggalan satu mata berbanding pendahulu Liga Super, Perlis.
Kemenangan ke atas Kedah, Sabtu ini penting untuk menjarakkan diri dengan pasukan di tangga ketiga itu kerana Kedah kini mengumpul 31 mata tetapi masih kurang satu perlawanan.
No comments:
Post a Comment