Monday, May 18, 2009

Kedah pulun kejar pendahulu


JUARA treble musim lalu, Kedah semakin mengukuhkan kedudukan di kelompok teratas Liga Super selepas menewaskan Perak 3-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.

Ekoran kejayaan itu, ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah menganggap percaturannya sejak daripada awal musim semakin menunjukkan hasil dan ia telah memberi keyakinan kepada mereka untuk terus mengejar pendahulu liga.

Menurut Azraai, setelah melakukan pelbagai percaturan dan gandingan pemain, usahanya itu sudah menampakkan hasil dan kini mereka meneruskan momentum kemenangan.

Katanya, pada perlawanan malam kelmarin beliau berhasrat menggandingkan Mohd. Azrul Ahmad dengan Faizal Abu Bakar di bahagian serangan, namun faktor kurang pengalaman memaksa beliau kembali meletakkan Khyril Muhymeen Zambri sebagai penyerang utama.

"Kita telah melakukan perubahan untuk mengelirukan lawan dan ia nampak berjaya.
"Begitupun saya puas hati apabila Kedah berjaya mencapai matlamat mengutip tiga mata penuh pada perlawanan tersebut," katanya.

Pada perlawanan itu, Kedah memperoleh jaringan pertama melalui Fauzi Shaari pada minit ke-35 sebelum Shahrulnizam Mustapha dan Khyril menambah kedudukan minit ke-45 dan 48, manakala jaringan tunggal Perak dihasilkan oleh Isma Alif Mohd. Salim minit ke-73.

Azraai berkata, kejayaan yang dicatatkan anak didiknya itu telah menempatkan mereka di tempat ketiga, sekali gus mencetus semangat juang yang lebih tinggi kepada pemain apabila pasukan tersebut pernah menghuni kedudukan tercorot pada awal musim.
Tambahnya, beliau juga akan terus melakukan percaturan yang berlainan bagi menyesuaikan pemain untuk bersaing dalam situasi yang tidak menentu jika pasukan itu kekurangan pemain selepas ini.

"Seperti ketika kebangkitan Kedah pada 2006, kami akan menjadikan pasukan ini sebagai platform kepada pemain muda mempamerkan bakat masing-masing dan seterusnya meraih kecemerlangan bersama skuad Kenari," ujarnya.

No comments:

Post a Comment