Wednesday, May 13, 2009

Asrul wira Kedah



KETUA jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah menyifatkan pertemuan dengan Pulau Pinang begitu menyukarkan, namun lega selepas anak buahnya mencatat kemenangan 2-1 di Stadium Batu Kawan, malam tadi.

Bagaimanapun, menurutnya, kejayaan meraih tiga mata berharga begitu penting bagi memastikan mereka terus menghimpit pendahulu Liga Super, Perlis selain mencerahkan harapan mempertahankan kejuaraan liga dimenangi sejak dua musim lalu.

“Saya memang menjangkakan perlawanan sengit dan kemenangan tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang sudah membuktikannya. Pemain saya bangkit memastikan kejayaan selepas terikat seri 1-1 pada separuh masa pertama. Kemenangan ini diharap berterusan apabila berdepan Perak, Sabtu ini,” katanya.

Kedah bermula baik dan mereka terlebih dulu membuka tirai jaringan pada m-20 menerusi rembatan kencang, Mohd Khyril Muhaymeen Zambri namun kedudukan itu hanya bertahan seminit apabila tuan rumah menyamakan kedudukan melalui S Thingaran.










Anak buah Azraai terus mengasak bagi memburu gol kemenangan dan mereka berjaya menjaringkan gol menerusi tendangan Asrul Ahmad pada m-75.




Keputusan ini membolehkan Kedah melonjak ke tangga ketiga liga, mengumpul 28 mata - ketinggalan empat mata kepada Perlis dan tiga mata di belakang Selangor di tangga kedua.

Azraai berkata, selain tumpuan mereka kepada pertemuan Sabtu ini, mereka juga perlu memastikan kemenangan mengatasi kelab Thailand, Chonburi FC pada saingan Piala AFC 2009 di Bangkok, Selasa depan, untuk layak suku akhir.

Sementara itu, penyerang muda, Khyril Muhymeen lega apabila menemui semula sentuhan yang sebelum gagal dilakukan pada perlawanan lalu.

“Kini, selepas berjaya menjaringkan gol ketika mengatasi ACB Hanoi pada saingan Piala AFC sebelum ini dan menemui sasaran perlawanan itu (menentang Pulau Pinang), ia begitu melegakan saya.

“Saya sekarang lebih yakin menjaringkan gol dan apa yang penting, kami berjaya meraih tiga mata berharga untuk terus kekal sebagai pencabar utama musim ini.

“Saya yakin kami mampu menang ke atas Perak jika semangat dan kesungguhan dipamerkan semua pemain malam ini, diambil kira,” katanya.

Di Stadium Darulaman, Kuala Muda Naza turut tidak ketinggalan mengutip tiga mata penuh selepas menumpaskan KL Plus, 2-0.

Kedua-dua gol dijaringkan bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-4 dan m-88.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil, selepas gagal meraih Piala FA buat pertama kali baru-baru ini, Kelantan terus ditimpa malang apabila tunduk 2-1 kepada Johor FC.

No comments:

Post a Comment